myDiploma.net
| Muka Depan | Universiti Awam (UA) | Universiti Swasta | Universiti Luar Negara Kampus Malaysia | Kolej Universiti | Kolej Swasta | Politeknik |
Asasi (Foundation) | Kolej Matrikulasi KPM | Kolej Pra Universiti | Baccalaureate | TVET | GIATMARA Malaysia | A.P.E.L. |

Asasi (Foundation)


Program Asasi ('Foundation' di UIA, 'Tamhidi' di USIM) ialah program pengajian pra-universiti yang dikendalikan di universiti yang berkenaan di bawah Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM). Program asasi mengambil masa antara satu hingga dua tahun. Kebanyakannya adalah setahun sahaja. Sukatan pelajaran program asasi disusun khas menjurus kepada program pengajian peringkat ijazah di universiti berkenaan.

Aliran dan program asasi

Ada dua jenis aliran program asasi iaitu aliran sastera dan aliran sains. Terdapat sebanyak 44 program asasi secara keseluruhannya.

  • 24 program disediakan untuk aliran sains sahaja

  • 1 program disediakan untuk aliran sastera sahaja

  • 19 program lain disediakan untuk aliran sains dan sastera


Program asasi di Universiti Awam

Universiti Malaya (UM) ada 7 program asasi mereka sendiri manakala Universiti Islam Antarabangsa (UIA) mempunyai 15 jurusan program asasi. Universiti lain yang mempunyai program asasi antaranya ialah Universiti Teknologi MARA (UiTM), Universiti Putra Malaysia (UPM), Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) dan Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM).

Persediaan ke program ijazah

Pada dasarnya, program asasi ini adalah program 'feeder' atau pembekal kepada program ijazah di universiti berkenaan. Sebagai contoh, program asasi di UMP disediakan khas untuk membekalkan pelajar ijazah di UPM juga dan bukan untuk universiti lain. Tidak seperti Tingkatan Enam atau Matrikulasi, Asasi dibentuk khusus sebagai persediaan pelajar untuk menghadapi kurikulum di universiti itu sendiri. Setakat ini, hanya lepasan asasi dari UM dan UiTM sahaja yang boleh memohon untuk menyambung pengajian ke peringkat ijazah di universiti lain. Walau bagaimanapun, graduan asasi dari kedua universiti itu tetap perlu memohon melalui UPU.

Program Asasi 'Terbuka' dan 'Tertutup'

Program Asasi 'Terbuka' ialah program asasi yang disediakan untuk universiti berkenaan dan lepasan asasi itu boleh diterima (jika layak) ke universiti lain. Sebagai contoh, program asasi UM dan UiTM adalah program asasi 'Terbuka'.

Program Asasi 'Tertutup' pula ialah program asasi di sesebuah universiti yang disediakan untuk universiti itu sendiri dan bukan untuk universiti lain. Contoh program asasi 'Tertutup' ialah program asasi di Universiti Malaysia Sarawak, Universiti Malaysia Sabah, Universiti Sains Islam Malaysia (USIM), Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM), dan Universiti Putra Malaysia (UPM).

Bumiputera dan Bukan Bumiputera?

Program asasi untuk bumiputera sahaja dikendalikan di UiTM (semua program asasi), UIA (semua program asasi), UM (asasi sains), UNIMAS (asasi sains) dan UMS (asasi sains).

Program asasi yang juga dibuka untuk bukan bumiputera dikendalikan di UM (Asasi Pengajian Islam), UPM (Asasi Sains Pertanian), di UKM (AsasiPintar), UUM (Asasi Pengurusan), USIM (Tahmidi), dan UPNM (semua program asasi).

Ke Mana Selepas Asasi?

Universiti negara luar tidak mengiktiraf program asasi yang dikendalikan di Malaysia. Oleh kerana itu, halatuju pelajar lepasan asasi adalah ke universiti di Malaysia sahaja, atau lebih tepat lagi, ke universiti yang menyediakan program asasi itu sendiri.

Pusat Asasi Sains Universiti Malaya (PASUM). Dr. Faiz Khaleed (foto bawah), calon angkasawan negara adalah graduan graduan PASUM.

Pusat Asasi Universiti Islam Antarabangsa (UIAM) Kampus Gambang Kuantan (foto atas) mula menerima kemasukan baru lepasan SPM mulai bulan Jun 2019.

Syarat Masuk
  • Syarat khas program ialah mempunyai sekurang-kurangnya 5 kepujian dalam SPM.

  • Selain dari syarat khas program, syarat kelayakan juga bergantung kepada institusi masing-masing

  • Untuk memohon ke asasi awam memerlukan sijil SPM

  • Untuk memohon ke asasi swasta memerlukan SPM selain dari O-Level, IGCSE atau yang setaraf dengannya.


Cara memohon

Permohonan ke program asasi di Universiti Awam perlu melalui UPU.

Permohonan ke program asasi di institusi pengajian tinggi swasta (IPTS) boleh dibuat di institusi masing-masing.

Seperti Sudah 'Belajar di Universiti'

Berbeza dengan program pra-universiti lain seperti Tingkatan Enam atau matrikulasi, program asasi diadakan di universiti berkenaan. Ini bermakna, pelajar akan 'belajar di kampus universiti'. Ini adalah antara tarikan program asasi. Pelajar rasa suka kerana mereka telah 'belajar di universiti' walaupun sebenarnya untuk ke peringkat ijazah selepas itu, mereka perlu memohon dan kemasukan adalah tidak secara automatik.

Boleh terus ke peringkat ijazah

Program asasi membawa pelajar terus ke peringkat ijazah. Jika memperolehi keputusan cemerlang, pelajar akan terus ditawarkan pengajian ke peringkat ijazah oleh universiti masing-masing tanpa perlu memohon lagi melalui UPU.

Jimat masa

Dalam masa 12 bulan sahaja sudah boleh masuk ke program ijazah (jika melepasi syarat kemasukan). Tiangkatan Enam misalnya memerlukan pengajian selama dua tahun. Program diploma pula kebanyakannya memerlukan masa tiga tahun untuk selesai.

Kekurangan Program Asasi
  1. Jika pelajar asasi gagal, mereka tidak mempunyai apa-apa sijil kecuali sijil SPM masing-masing.

  2. Pelajar yang gagal ini terpaksa menggunakan SPM lama mereka itu untuk memohon program Sijil atau Diploma jika masih mahu meneruskan pengajian di institusi lain.

  3. Sekiranya lulus program asasi tapi tidak mahu menyambung pengajian lagi, sijil asasi itu tidak boleh digunakan untuk memohon pekerjaan. Sijil asasi itu tidak laku. Sektor pekerjaan tetap memilih sijil SPM, STPM, atau Diploma.

  4. Jika keputusan kurang baik dan gagal untuk terus ke universiti berkenaan, lepasan asasi ini terpaksa menggunakan SPM mereka semula untuk memohon melalui UPU semula untuk pengajian ijazah mereka kerana masing-masing universiti mempunyai program asasi mereka sendiri.

  5. Pelajar lepasan asasi selain dari asasi UiTM dan asasi UM sukar diterima untuk menyambung pengajian ke peringkat ijazah di universiti awam yang lain.

  6. Universiti luar negara tidak menerima keputusan asasi untuk pengajian ijazah.

  7. Sektor pekerjaan tidak menerima pekerja yang memohon kerja menggunakan sijil program asasi.

  8. Syarat kemasukan lebih susah berbanding dengan syarat kemasukan ke program diploma.


© mydiploma.net | 2022